Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions

17.10.2015_Majlis Mengatam Padi Musim 2015 KKP Limau Manis

KENYATAAN AKHBAR

MAJLIS MENGATAM PADI LAILA MUSIM 2015 

DI KAWASAN KEMAJUAN PERTANIAN (KKP) LIMAU MANIS,

KAMPONG LIMAU MANIS

 

Majlis mengatam padi Laila bersama Ahli-Ahli ladang Majlis Perundingan Kampong (MPK) Limau Manis, Mukim Pengkalan Batu, Negara Brunei Darussalam telah diadakan pada 04 Muharram 1437 bersamaan 17 Oktober 2015.  Majlis ini diadakan di lot 10 yang dimiliki oleh Awg Tarsim bin Haji Malok, bertempat di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Limau Manis.  Majlis ini juga merupakan  kesinambungan daripada Majlis Menanam Padi Laila yang telah diadakan pada 17 Ramadhan 1436 bersamaan 01 Julai 2015 yang lalu.

Tetamu Kehormat majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama,  Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Dayang Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri, Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama; Yang Mulia Awang Haji Khairuddin bin Haji Abd Hamid, Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan Industri dan Keusahawanan), Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama; Yang Mulia Dayang Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah, Pengarah Pertanian dan Agrimakanan;  Ketua-Ketua Jabatan; Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama; Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan; Penghulu dan Ketua-Ketua Kampong serta Pengusaha-Pengusaha Padi.

Ladang Padi Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Limau Manis ini telah diusahakan oleh 21 orang pengusaha padi MPK Limau Manis, Mukim Pengkalan Batu yang berkeluasan 50 hektar.  Pengusaha kawasan ini telah menanam sebanyak 4 musim sejak Musim Utama 2013/2014 yang bertahap komersial dan mampu meningkatkan sumber perekonomian ahli-ahli MPK Limau Manis.  Padi yang dikatam ini ialah padi  luar musim penanaman 2015. 

Peladang di kawasan ini begitu aktif dan komitted serta mampu mengeluarkan hasil padi yang sangat baik.  Mereka telah pun diberikan kursus asas pengurusan penanaman padi yang sempurna melalui Sekolah Perladangan Padi (Rice Farmers Field School - RFFS) yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.  Dengan mengaplikasikan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi dari kursus tersebut, pengusaha MPK Limau Manis telah berjaya menghasilkan padi pada musim 2013/2014 yang berjumlah 143 mt, di mana hasil per hektar adalah sangat menggalakan, kira-kira 3 mt sehektar.

Kerja-Kerja pengurusan ladang di kawasan ini adalah menggunakan kaedah moden iaitu dengan menggunakan mekanisasi bermula dari peringkat penyediaan kawasan, penanaman hinggalah ke peringkat penuaian hasil.  Selain dari itu, pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan juga telah meningkatkan sistem pengairan dengan membina saliran konkrit bagi meningkatkan lagi kapasiti dan effisiensi sistem saliran bagi menampung keperluan tanaman padi di kawasan berkenaan.

Pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan secara berterusan membuat pemantauan ke atas kegiatan-kegiatan ladang padi di seluruh negara ini termasuklah di KKP Limau Manis.  Para peladang padi telah menikmati berbagai-bagai insentif daripada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan demi untuk mengalakan dan meningkatkan pengeluaran serta kualiti padi di negara ini.  Ini termasuklah mengikuti latihan serta program pembangunan kapasiti yang dijalankan, skim pembelian semula padi di samping penyediaan kemudahan asas infrastruktur, perkhidmatan khidmat nasihat, penjualan bahan input, benih tanaman, peralatan dan jentera ladang pada kadar harga bantuan kepada peladang-peladang yang berdaftar dan mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan. Atas sebab inilah, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sangat berharap agar setiap pengusaha padi akan memanfaatkan segala bantuan dan insentif yang disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi mendokong usaha jaminan sekuriti makanan negara.​

Kenyataan Akhbar
Attachments