Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

15.01.2018 PROGRAM PENDEDAHAN PERUSAHAAN PERTANIAN UNTUK PARA BELIA SECARA PERLADANGAN BERKONTRAK "CONTRACT FARMING"

KENYATAAN AKHBAR

 

PROGRAM PENDEDAHAN PERUSAHAAN PERTANIAN UNTUK PARA BELIA SECARA PERLADANGAN BERKONTRAK "CONTRACT FARMING"

 

28 RABIULAKHIR 1439 BERSAMAAN DENGAN 15HB JANUARI 2017,

Dewan Simpur, Pusat Urusniaga Hortikultur Rimba,

Jabatan Pertanian dan Agrimakanan

 

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah mengungkayahkan "Program Pendedahan Perusahaan Pertanian Untuk Para Belia Secara Perladangan Berkontrak (Contract Farming)" selama 4 hari bermula dari 15 Januari hingga 18 Januari 2018 di Pusat Urusniaga Hortikultur Rimba, Gadong. Program ini meliputi sesi taklimat serta penerangan dan lawatan yang disampaikan oleh pengusaha terpilih serta pegawai-pegawai daripada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

 

Program ini adalah merupakan salah satu initiatif Jabatan dalam mendokong Pelan Strategik Jabatan Pertanian Dan Agrimakanan 2016-2020. Di samping itu juga, program ini bertujuan untuk mendedahkan perusahaan pertanian sebagai satu perniagaan menguntungkan serta membuka peluang kepada belia-belia untuk melabur dalam sektor pertanian secara "Contract Farming", khususnya dalam bidang industri tanaman menggunakan sistem teknologi tinggi yang boleh meningkatkan hasil pertanian dan memberikan pulangan yang lumayan. 

 

Program ini dibahagikan kepada sesi taklimat dan lawatan ladang pertanian. Pada sesi taklimat ini, penerangan dibuat mengenai peluang-peluang pelaburan di bidang industri tanaman, simulasi kewangan bagi perusahaan pertanian menggunakan teknologi tinggi.  Satu taklimat daripada Syarikat Gropoint Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat yang bakal membeli kesemua keluaran belia-belia itu nanti melalui dalam contract farming juga diadakan. Di antara ladang-ladang pertanian yang dilawati ialah Syarikat Ameenfarm Agrotech and Trading, RZ Prisma Enterprise, Syarikat Econadi Agrobiz, DD Agrobiz dan Kanglin Hydroponics Farming.

 

Dengan adanya program ini, diharap akan dapat menarik minat dan meningkatkan penyertaan golongan muda yang terdiri dari belia-belia untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian secara contract farming dan yang mana akan dapat meningkatkan hasil pertanian dan pasaran eksport. Dalam perladangan secara berkontrak ini, para pengusaha pertanian perlu mengeluarkan sejumlah modal dan fokus kepada pengeluaran yang berterusan serta berkualiti mengikut standard Syarikat yang akan membeli dan memasarkan semua produk-produk pertanian yang mereka hasilkan. 

 

Program pertama ini diharap akan dapat mencapai objektif bagi melahirkan para belia usahawan-usahawan pertanian yang komited, progresif dan produktif bagi sama-sama menyumbang ke arah peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam sektor pertanian pada masa terdekat. Program ke dua seterusnya akan diadakan 2 minggu selepas ianya berakhir. Para belia yang berminat bolehlah menghubungi Unit Industri Sayur-Sayuran, Jabatan Pertanian Dan Agrimakanan di talian  2388095 atau 2382822.



 

 

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

28 Rabiulakhir 1439/15 Januari 2018

 

​Related news:

www.mediapermata.com.bn

Attachments