Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

13.01.2018 LAWATAN YB MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN KE REBAN AYAM TERTUTUP PERUSAHAAN RIZA FUDHLANA FARMING

KENYATAAN AKHBAR

 

LAWATAN YB MENTERI KEMENTERIAN SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN KE REBAN AYAM TERTUTUP

PERUSAHAAN RIZA FUDHLANA FARMING

 

Sabtu, 13 Januari 2018

Perusahaan Riza Fudhlana Farming adalah salah satu anak syarikat di bawah naungan Riza Group yang menggunakan teknologi sistem reban ayam tertutup yang mana ianya boleh menampung 20,000 hingga 23,000 ekor ayam setiap pusingan. Perusahaan ini diusahakan di Kawasan Kemajuan Pertanian Tanah Tuah, Bebatik Kulapis dengan keluasan sebanyak 6ha.

Ladang Riza Fudhlana Farming menerima lawatan rasmi kepada  reban ayam tertutup dari Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan pada 13hb Januari 2018.

Menurut Pengurus Syarikat Riza Fudhlana Farming, Pengiran Haji Haris bin Pengiran Haji Duraman, pada awal penubuhan syarikatnya hanya memiliki dua buah reban dan syarikat itu terus menampakkan perkembangan yang positif dan progresif dengan penambahan lagi dua buah reban ayam tertutup pada tahun 2015. Pada tahun 2017, terdapat sembilan (9) unit reban sedang beroperasi, dimana ianya telah menghasilkan sebanyak 1750 metrik tan ayam pedaging yang bernilai BND 7.9 juta. Perancangan bagi syarikat ini adalah untuk menambah 6 buah reban pada tahun 2018 yang berkapasiti 25,000 ekor bagi setiap reban.

Tugas-tugas pengendalian reban-reban ayam tersebut dilakukan oleh para pekerja asing yang berpengalaman namun dari sudut pengurusan Syarikat Riza Farming pula majoritinya adalah anak-anak tempatan termasuk anak-anak pengurus syarikat berkenaan.

Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sentiasa memberikan sokongan yang berterusan melalui khidmat nasihat, penyediaan kawasan yang bersesuaian dalam mengusahakan ternakan ayam lebih-lebih lagi di dalam penggunaan teknologi tinggi.  Ini akan dapat meningkatkan lagi produktiviti dan pengeluaran ayam pedaging bagi pasaran tempatan dan seterusnya menembusi pasaran luar negeri dengan program piawaian ladang dalam pengurusan penternakan (kebersihan dan biosekuriti ladang).

Pemantauan ke atas ladang-ladang di bawah Kawasan Kemajuan Pertanian akan sentiasa di pantau bagi memastikan agar tapak berkenaan akan sentiasa diusahakan bagi tujuan pengeluaran mengikut syarat-syarat yang telah di tetapkan. Salah satu daripada pemantauan yang dilakukan ialah pemantauan Amalan Pemeliharaan Ternakan Yang Baik (Good Animal Husbandry Practices -GAHP). Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sentiasa menggalakkan pengusaha ladang supaya sentiasa mengamalkan Amalan Pemeliharaan Ternakan Yang Baik (GAHP) dan sentiasa menitik beratkan kebajikan haiwan demi menjamin kesihatannya.

Bagi meningkatkan lagi mutu ladang ternakan ke arah peningkatan produktiviti, kawalan penyakit yang baik dan menghasilkan produk berkualiti, para pengusaha di sarankan untuk menyerapkan GAHP ke dalam pengurusan ladang ternakan mereka. Matlamat GAHP ini ialah untuk meningkatkan mutu penternakan kearah mengwujudkan ladang yang berkualiti dan produktif. Selain daripada itu ianya juga menekankan aspek biosekuriti ladang, kesihatan dan keselamatan pekerja, kesejahteraan ternakan dan langkah-langkah bagi mengurangkan kesan alam sekitar. Pengurusan rekod-rekod ladang juga adalah penting di dalam pengurusan ladang bagi memudahkan pengesanan penyakit serta dapat menjamin kualiti sesebuah ladang ternakan. 

Pada masa ini, Jabatan Pertanian dan Agrimakan bergiat aktif menjalankan beberapa program untuk menaiktarafkan ladang-ladang yang sedia ada melalui penyerapan teknologi tinggi, pengunaan Amalan Pemeliharaan Yang Baik dan Biosekuriti serta pemantauan penyakit-penyakit ternakan. Langkah-langkah ini adalah diperlukan dalam mendokong perancangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk mengekspot komoditi ayam iaitu telur dan daging ayam kepada negara-negara seperti Singapura, Jepun dan Korea.

Sehubungan itu, Jabatan juga menyarankan lebih ramai lagi pengusaha ayam pedaging untuk berkecimpung di dalam penggunaan teknologi di dalam perusahaan mereka Perusahaan ini akan dapat meningkatkan industri ternakan dan mampu menjana ekonomi negara.

​Related news:

www.mediapermata.com.bn

Attachments