Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

15.05.2017_ PENGHANTARAN 9 ORANG PEGAWAI DAN KAKITANGAN

KENYATAAN AKHBAR

PENGHANTARAN 9 ORANG PEGAWAI DAN KAKITANGAN

JABATAN PERTANIAN DAN AGRIMAKANAN DAN PELADANG PADI UNTUK MENGHADIRI KURSUS KOMPREHENSIF PADI HIBRID DI

REPUBLIK RAKYAT CHINA SELAMA 3 BULAN

Kursus China.jpg 

 

Hari Isnin, 18 Syaaban 1438 bersamaan 15 Mei 2017 -  Satu delegasi melibatkan seramai enam (6) orang pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan tiga (3) orang peladang padi belia telah berlepas hari ini untuk menghadiri Kursus '2017 Training Course on Hybrid Rice Comprehensive Technology for Developing Countries' selama tiga bulan.  Antara yang turut hadir untuk mengucapkan selamat belayar kepada delegasi tersebut adalah Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah, Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Khairunnisa binti Haji Omar Ali, Pemangku Ketua Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Sumber-Sumber Utama, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Mr. Zhu Rong dan Mr. Zhang Jun, wakil – wakil daripada Kedutaan Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam dan Haji Saiful Rizal bin Haji Ariffin dan Haji Ruslan bin Haji Kurus, Pegawai-Pegawai Latihan daripada Pusat Pembangunan Belia.

 

Kursus yang dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan, Republik Rakyat China ini adalah bertujuan untuk melatih peserta-peserta kursus dalam pembiakbakaan padi hibrid, pengeluaran benih serta pengurusan padi hibrid secara komprehensif bagi membolehkan peserta-peserta menggunakan teknologi padi hibrid ini untuk meningkatkan produktiviti padi dan sekuriti makanan di negara masing-masing.  Ini adalah sangat bertepatan dengan matlamat strategik Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan iaitu meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sektor pertanian melalui penggunaan teknologi dan teknik moden secara meluas.

 

Penghantaran para pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan para peladang padi belia untuk mengikuti kursus ini bukan sahaja amat bersesuaian bagi peningkatan kapasiti sumber tenaga manusia dalam bidang industri padi, akan tetapi secara langsung mendukung usaha-usaha  bagi mencapai sasaran pelan strategik industri padi iaitu untuk meningkatkan pengeluaran dan produktiviti padi ke 12 metrik tan sehektar semusim pada tahun 2020.  Setelah tamat menjalani kursus tersebut, para peserta akan dilibatkan dalam projek kajian kesesuaian varieti hibrid yang pada masa ini sedang dilaksanakan.

Attachments