Selasa, 28 April 2026 – Taklimat dan Praktikal Pemasangan Sistem Solar Panel bagi Pengusaha-Pengusaha di Daerah Belait telah dianjurkan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB) melalui Pusat Penyelidikan Sains Agrimakanan dan Teknologi (CrAFT) dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan melalui Unit Kemajuan Pertanian Daerah Belait. Taklimat ini telah berlangsung di Stesen Kemajuan Pertanian Sungai Liang, Daerah Belait.

Taklimat dan praktikal ini bertujuan untuk mengongsikan tatacara pemilihan serta penyediaan sistem solar secara mudah dan praktikal, meliputi aspek pemasangan panel solar hingga kepada penggunaan tenaga solar bagi peralatan asas pertanian seperti pam air dan lampu. Taklimat ini juga diharap dapat menyokong aktiviti pertanian di ladang melalui penggunaan tenaga solar. Seramai 27 orang pengusaha telah menyertai taklimat ini.

Program ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Universiti Teknologi Brunei bagi komuniti pengusaha pertanian di Brunei Darussalam.